Wahai ibu yang amat ku kasihi

11 Nov 2011By Salimah Binte Abdul Hamid, Singapore

Wahai ibu yang amat ku kasihi:

Betapa aku merindui kehadiran mu di-dalam hidup ini. Walau jasad mu masih bersama kami namun, demensia telah meragut daya ingatan mu dan membawa mu jauh dari kami. Setelah lapan tahun berlalu semenjak demensia mula mengganggu hidup mu, kini ia telah berjaya menakluki fikiranmu sepenuhnya. Sehinggakan kau tidak lagi mengenali siapa dirimu dan identiti ahli famili yang amat kau kasihi dahulu.

Sesungguhnya anak mu merasa teramat hiba dengan keadaan yang terpaksa ibu lalui sekarang ini. Apa yang terdaya oleh anak mu kini hanyalah untuk menjaga mu dengan penuh kasih dan sayang sebagaimana kau telah membesarkan kami. Semuga sisa-sisa hidup mu masih diselubungi dengan kebahagiaan dan terhindar dari kegusaran.

Namun, ada ketika tekanan hidup dan kepayahan menghadapi ujian menjaga keadaanmu yang kekadang amat mancabar kesabaran, anak mu tewas jua membendung frustrasi yang di-rasai. Ibu, maafkan lah anak mu diwaktu-waktu kelemahan itu. Akan ku selalu ingati belaian kasih dan sayang yang kau berikan padaku sewaktu sihatmu; bagi menguatkan daya kesabaran dan keinsafan ku.

Wahai ibu yang amat ku kasihi, terima kasih kerana telah menjadi seorang ibu yang amat penyayang dan terbaik buatku; doa ku sentiasa untuk kesejahteraanmu.

Read the English translation by Salimah’s daughter, Azira Amran, who also shared a story about her grandmother.